Tiga (3) Model Pengoperasian Pembukaan Penuh Sekolah Berdasarkan Kapasiti Sekolah

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengumumkan tarikh pembukaan semula sekolah untuk murid kelas peperiksaan awam iaitu SPM, SVM, STPM dan STAM serta peperiksaan antarabangsa yang setara bagi seluruh negara adalah pada 24 Jun 2020. Bagi murid-murid selain daripada kelas peperiksaan awam, sekolah akan dibuka secara berperingkat berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara. 

Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah yang diedarkan pada 4 Jun 2020 menetapkan penjarakan sosial dipraktikkan di sekolah terutamanya dalam bilik darjah. Bilik-bilik darjah perlu dikonfigurasi semula dan meja murid perlu disusun pada jarak satu (1) meter. Kapasiti maksimum untuk sebuah kelas dengan penjarakan sosial adalah bergantung kepada kesesuaian bilik atau ruang yang digunakan.

KPM menyedari bahawa pelaksanaan penjarakan sosial menyebabkan sebilangan besar sekolah tidak mempunyai bilik darjah yang dapat menampung bilangan murid yang besar. Oleh itu, KPM mencadangkan tiga model pengoperasian pembukaan penuh sekolah yang boleh dipilih berdasarkan kapasiti sekolah. Cadangan model ini dapat memastikan murid-murid lain kembali ke sekolah dan boleh menampung kapasiti murid setelah mengambil kira penjarakan sosial dalam bilik darjah.

PERINCIAN MODEL CADANGAN

Model 1 – Model Satu Sesi 

Model ini boleh digunakan bagi sekolah yang mempunyai bilik darjah atau ruang yang mencukupi untuk menempatkan semua murid dalam satu sesi. Semua sekolah yang melaksanakan model ini akan beroperasi seperti biasa.

Model 2 – Model Dua Sesi

Model ini digunakan bagi sekolah yang perlu beroperasi secara dua sesi kerana tidak mempunyai ruang yang mencukupi untuk menempatkan semua murid dalam satu sesi.

Model 3 – Model Penggiliran

Model ini digunakan bagi sekolah yang perlu beroperasi secara penggiliran kerana tidak mempunyai ruang yang mencukupi untuk menempatkan semua murid dalam satu atau dua sesi. Cadangan penggiliran adalah seperti berikut:

  • Sekolah Menengah: Murid Tingkatan 5 dan 6 perlu hadir ke sekolah setiap hari. Kehadiran murid Tingkatan 1 hingga 4 perlu dibuat secara bergilir mengikut kelas atau aliran tertentu. Namun begitu, sekiranya sekolah mempunyai ruang yang mencukupi, murid Tingkatan 4 akan diberi keutamaan untuk turut hadir setiap hari. Pihak sekolah boleh menentukan bentuk penggiliran yang sesuai.
  • Sekolah Rendah: Murid Tahun 1 hingga Tahun 6 boleh hadir secara bergilir mengikut kelas atau tahap. Pihak sekolah boleh menentukan bentuk penggiliran yang sesuai.
  • Perlu diingatkan bahawa Model 3 merupakan pilihan terakhir setelah usaha melaksanakan Model 2 tidak dapat dilaksanakan oleh pihak sekolah.

Sehubungan dengan itu, pihak sekolah hendaklah membuat pemilihan model pengoperasian pembukaan penuh sekolah berdasarkan kapasiti seklolah. Langkah ini penting bagi memastikan semua murid dapat kembali ke sekolah setelah KPM membuat pengumuman pembukaan penuh sekolah.

✅ Promosi LAZADA Terkini Diskaun Sehingga 70%: Klik Sini

Untuk cikgu-cikgu yang berminat untuk dapat bahan-bahan atau infomasi pendidikan yang terkini boleh Follow kami di:
Facebook Page: MyCikgu.net
Facebook Group: My Cikgu Group
Telegaram Channel: mycikgu

 Subscribe Kami Untuk Dapat Informasi Terkini!!